Salam Sejahtera,
Sebenarnya kita sangat kekurangan alias bodoh sebagai manusia di atas muka bumi ini. Ini bukan ungkapan ironis yang semata-mata mencari sensasi agar kita tersenyum sinis melihat aksi lawak Senario.
Ungkapan ini benar adanya. Bahawa kita adalah orang bodoh. Begitu mungkin bahasa kasarnya. Di sebaliknya kita perlu berfikir, pernahkah dalam sehari kita tidak bertanya? Apa, siapa, ke mana,di mana, kenapa, yang mana, bagaimana, berapa, bila dan banyak lagi pertanyaan itu sentiasa kita ucapkan dalam keseharian kita. Kita merasakan seperti setiap saat ada saja kekurangan akal dan nafsu yang belum terpenuh di dalam diri.
"Kenapa Altantuya dibunuh sebegitu kejam? Mengapa perlu PM menghadkan kesabarannya? Perlukan bendera Umno diberi nama baru? Mengapa golongan Mat Rempit kelihatan semakin tinggi status sosialnya? Mampukah parti Republikan kekal di AS? Adakah Sharon masih berdegup jantungnya ketika ini? Berapa banyak nyawa lagi harus melayang di bumi Iraq?"
Sekarang, cuba kita berfikir dan merenung kembali, berapa banyak persoalan yang bergentayangan dalam benak kita telah terungkai sekaligus menemui jawapan (?) Justeru ketika kita menemui jawapannya sekalipun, akan terus bertanya lagi...dan lagi. Oleh itu kita perlu menerima hakikat bahawa sesungguhnya, DIA maha kaya.
Lantaran itu, Apabila dunia semakin maju kita sebenarnya semakin bodoh. Yang akan terus berhadapan dengan masalah-masalah dan segala macam rencah persoalan, yang akan terus berfikir dengan pertanyaan, yang akan terus bertahan hidup dengan bertanya...