January 11, 2013

12 Jan ; Kuala Lumpur huru hara...(?)


 

Pengalaman yang cukup menakutkan ketika perhimpunan haram tahun lepas memaksa orang ramai mendesak supaya perhimpunan yang didalangi pembangkang yang dijadual diadakan Sabtu ini dibatalkan.

Menjanjikan keadaan akan berlangsung dengan aman oleh pihak penganjur bukan lagi dipandang sebagai jaminan mutlak oleh orang ramai ekoran sikap penganjur yang sering menyalahkan pihak lain termasuk pihak berkuasa keselamatan jika berlaku kejadian yang tidak diingini.

Seorang pekerja swasta yang ingin dikenali sebagai Din, 40, berkata sikap penganjur yang tidak bertanggungjawab ke atas kerosakan, keselamatan peserta serta menyusahkan semua pihak dalam siri perhimpunan sebelum ini sudah cukup menjadi pengajaran kepada semua.

Beliau yang tidak bersetuju orang ramai menyertainya berkata hak asasi manusia yang sering diperalat oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagaimana pun tidak boleh mengatasi peruntukan undang-undang negara.

"Apa gunanya mengadakan pelbagai perhimpunan, terjerit, terlolong jika gagal mencapai matlamat seperti yang dimahukan. Tak payahlah mengadakan perhimpunan dan sebagainya. Ini semua menyusahkan sahaja," katanya.

Din mungkin mewakili seorang daripada jutaan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian. Aktivis sosial Khairil Hafizd Khairuddin, 30, pula menyifatkan perhimpunan itu berniat jahat dan cuba menjatuhkan imej negara.

"Saya tidak nampak apa yang mahu mereka buktikan. Pada saya Malaysia tidak perlukan demonstrasi dan saya nampak golongan yang cuba mengadakan demonstrasi ini adalah golongan yang tidak sukakan kerajaan."Ini menyebabkan golongan ini suka membuat tafsiran sendiri di atas sesuatu perkara sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dan seterusnya mengadakan demonstrasi. Ini tidak betul. Banyak saluran yang boleh digunakan seperti Parlimen untuk menyuarakan rasa tidak puas hati melalui wakil rakyat mereka,"

"Generasi akan datang akan beranggapan bahawa demonstrasi tidak salah kerana adanya contoh terdahulu. (Jadi) Sama ada kerajaan sekarang atau kerajaan baharu nanti, demonstrasi akan terus ada dan menjadi budaya," katanya.

Khairil Hafizd meminta orang ramai supaya tidak menyertainya dan tidak terpengaruh dengan perhimpunan itu kerana nyata banyak membawa keburukan daripada kebaikan.

"Saya tidak percaya perhimpunan seperti ini meskipun dilakukan dalam stadium akan berlangsung dengan aman. Bila berlaku kacau bilau, ini yang akan menyusahkan ramai orang seperti mana yang berlaku dalam perhimpunan sebelum ini," katanya.

Beberapa pihak sebelum ini dilaporkan menentang perhimpunan itu selain mendesak Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan tujuan ia diadakan kerana secara kebetulan ia berlangsung beberapa hari sebelum Shamsidar Taharin, iaitu isteri Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, menjadi saksi perbicaraan kes saman fitnah melibatkan Anwar.

.

No comments: