Salam sejahtera dan selamat bertemu kembali…lama tidak menulis, sejak PRU ke 12 kali ini baru berkesempatan menulis kerana hidup juga perlu perubahan sebagaimana perubahan yang mengejutkan dalam PRU yang baru lepas dan kesannya masih panas sehingga ke hari ini.
...bekas MB Selangor yang namanya Mohammad Khir bin Toyo (Datuk Seri) yang rumah persinggahannya sering aku lalui setiap kali balik ke kampung halaman di penghujung negeri Selangor ini sebenarnya masih cuba test market di pasaran politik setelah gagal menyandang semula jawatan sebagai orang nombor satu di negeri paling maju di negara ini.
Secara tiba-tiba, babi-babi di Selangor menjadi popular, projek ternakan babi berskala besar bernilai RM100 juta telah menjadi tajuk utama di media elektronik. Seiring dengan isu ini bekas MB Selangor juga tiba-tiba menjadi lebih popular berbanding dengan MB Selangor yang berjaya mendapat mandat rakyat meneraju negeri Selangor. Sama ada ia secara kebetulan atau strategi ala-ala artis yang suka membesarkan sensasi berbanding bakat semulajadi, Mohammad Khir bin Toyo mendapat publisiti meluas apabila beliau sendiri mengesahkan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda, kemudiannya sering memberi kenyataan yang bertentangan dengan MB Selangor yang baru, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan seterusnya projek lima bintang ternakan babi yang perbincangan awalnya sejak zaman pemerintahan Mohammad khir lagi menjadi lebih sensasi.
Dan saya juga tidak ketinggalan untuk mengucapkan selamat datang kedunia Blog (maaf, mungkin ucapan ini agak terlewat) kepada Mohammad khir yang baru melancarkan laman blognya. Sebagai blogger baru, Ahlan Wasahlan kami ucapkan dan tahniah!
Wahai bekas MB Selangor, panel penganalisis politik mengulas semasa malam menjelangnya keputusan PRU ke 12 yang lalu ada mengatakan secara ikhlas dan telus, bahawa media arus perdana terlalu memprovok parti pembangkang sehingga ke satu tahap rakyat tidak boleh menerima bahkan mencebik apa yang disogokkan oleh media. Impaknya, PRU ke 12 yang nampak tenang dan kelihatan masih menyebelahi parti pemerintah tiba-tiba memuntahkan keputusan yang sangat mengejutkan banyak pihak.
Justeru itu strategi bermedia yang keterlaluan kadang-kadang membahayakan diri sendiri tapi tidak mendatangkan apa-apa bahaya kepada projek ternakan babi apatah lagi kepada haiwan itu dan saya suka kepada kenyataan bekas MB Selangor ini "Saya lihat dinegara ini, orang kita buat rumusan terlalu cepat, apabila terima sesuatu berita tanpa usul periksa mereka percaya, apabila kita buat penjelasan, tidak mahu terima" Selamat memblog Datuk Seri.