Isteri Mat Yo mohon maaf |
“Dengan rasa rendah diri,
saya minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas tindakan saya
sehingga menimbulkan kemarahan semua pihak.
“Saya percaya, kebenaran kes ini akan
terbongkar. Tolong jangan hukum saya tanpa mengetahui apa yang berlaku,”
kata Siti Aisya Adam, 24, isteri kepada pemain bola sepak negara,
Norshahrul Idlan Talaha, ketika mengulas mengenai video dia bergaduh
dengan pengawal keselamatan kini tersebar luas.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu
berkata, dia tidak tahu apa motif sebenar individu yang menyiarkan video
berkenaan, sedangkan kejadian perselisihan faham berlaku pada 12
September lalu, namun video berkenaan baru tersebar sejak Selasa lalu.
“Saya tidak mengetahui mengenai
penyebaran video ini sehingga dimaklumkan keluarga yang turut terkejut
melihat insiden berkenaan. Apa motif individu itu menyiarkan video
berkenaan. Adakah disebabkan suami saya pemain bola sepak negara?
Dua individu miliki video
“Ramai menyangka saya yang menyebarkan
video berkenaan, namun di sini saya tegaskan, penyebaran video itu tiada
kaitan langsung dengan saya. Apa yang saya boleh cakap, hanya dua orang
yang memiliki video berkenaan, namun saya enggan dedahkan sebaliknya
menyerahkan kepada pihak polis,” katanya .
Siti Aisya yang tertekan susulan
kejadian itu berkata, selepas tersebarnya video berkenaan, ramai yang
marah dan mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya, namun mereka tidak
mengetahui apa sebenarnya berlaku.
“Malah, masyarakat menuduh tindakan saya
memalukan suami. Saya bukan seorang biadap, kejadian ini berlaku
apabila individu lain mencabar saya sehingga menimbulkan kemarahan.
“Jujur saya katakan, saya hormat orang
tua kerana kehilangan bapa sejak berusia 12 tahun. Tatkala masyarakat
mencemuh saya selepas melihat video berkenaan, saya tidak mampu
mempertahankan diri sebaliknya hanya mampu berdoa supaya kebenaran
sebenar akan timbul,” katanya sambil menangis.
Insiden kekecohan membabitkan isteri
kepada pemain bola sepak negara dengan pengawal keselamatan di Subang
Skypark, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mula tersebar
secara meluas sejak Selasa lalu.
Rakaman selama 54 saat itu turut
menampakkan wajah Nor Shahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo, yang
menyaksikan perang mulut antara isterinya dengan pengawal keselamatan
terbabit, Azman Md Nayan, 49.
Tak terlintas saman
Siti Aisya turut meminta masyarakat
tidak mencemuh suaminya disebabkan insiden membabitkan dirinya,
sebaliknya Nor Shahrul tiada kena mengena dalam kes terbabit.
Ditanya sama ada beliau bertindak
menyaman pengawal keselamatan itu, Siti Aisya menjelaskan tidak pernah
terlintas untuk bertindak sejauh itu, sebaliknya peguam dilantik selepas
video berkenaan mula tersebar.
No comments:
Post a Comment