November 27, 2006

ROKOK




Di Parlimen menteri merokok
di pejabat pegawai merokok
di Mahkamah Agung Hakim merokok
di rumah mak bapak merokok
di masjid Tok Imam merokok

di hospital doktor merokok
di simpang jalan polis trafik merokok
di sawah petani merokok
di ladang tembakau peladang merokok
di perkuburan sebelum masuk kubur orang merokok

makanya…
di tandas sekolah murid-murid mencuri merokok
di kampus mahasiswa merokok
di bilik guru cikgu-cikgu juga merokok

Di antara jari telunjuk dan jari hantu
terselit sebatang rokok putih warnanya

duduk-duduk dengan perokok
boleh tersampuk penyakit jantung

rupa-rupanya asap rokok lebih jahat
dari kuman hiv aids...

November 15, 2006

BODOHKAH KITA?

Salam Sejahtera,

Sebenarnya kita sangat kekurangan alias bodoh sebagai manusia di atas muka bumi ini. Ini bukan ungkapan ironis yang semata-mata mencari sensasi agar kita tersenyum sinis melihat aksi lawak Senario.

Ungkapan ini benar adanya. Bahawa kita adalah orang bodoh. Begitu mungkin bahasa kasarnya. Di sebaliknya kita perlu berfikir, pernahkah dalam sehari kita tidak bertanya? Apa, siapa, ke mana,di mana, kenapa, yang mana, bagaimana, berapa, bila dan banyak lagi pertanyaan itu sentiasa kita ucapkan dalam keseharian kita. Kita merasakan seperti setiap saat ada saja kekurangan akal dan nafsu yang belum terpenuh di dalam diri.

"Kenapa Altantuya dibunuh sebegitu kejam? Mengapa perlu PM menghadkan kesabarannya? Perlukan bendera Umno diberi nama baru? Mengapa golongan Mat Rempit kelihatan semakin tinggi status sosialnya? Mampukah parti Republikan kekal di AS? Adakah Sharon masih berdegup jantungnya ketika ini? Berapa banyak nyawa lagi harus melayang di bumi Iraq?"


Sekarang, cuba kita berfikir dan merenung kembali, berapa banyak persoalan yang bergentayangan dalam benak kita telah terungkai sekaligus menemui jawapan (?) Justeru ketika kita menemui jawapannya sekalipun, akan terus bertanya lagi...dan lagi. Oleh itu kita perlu menerima hakikat bahawa sesungguhnya, DIA maha kaya.

Lantaran itu, Apabila dunia semakin maju kita sebenarnya semakin bodoh. Yang akan terus berhadapan dengan masalah-masalah dan segala macam rencah persoalan, yang akan terus berfikir dengan pertanyaan, yang akan terus bertahan hidup dengan bertanya...

November 07, 2006

IKHLAS KAH?

Salam Sejahtera,

Kita masih lagi di dalam mood Hari Raya. Disaat kita bersosial, bekerja, melangsungkan perjalanan hidup, kadang-kadang kita lupa menyelitkan sekelumit rasa ikhlas yang mendalam pada setiap segi kehidupan. Aidilfitri menuntut kita bermaafan setulus iklhlas bukan sekadar berjabat tangan tapi di hati masih lagi menggumpal seketul darah hanyir penuh nista yang zahirnya tidak kelihatan.


hipokritnya melangkaui batas kebinatangan...

Kita kan manusia biasa, semua masalah yang kita hadapi pasti selalu dibuntuti oleh emosi dan nafsu. Keinginan untuk meluapkan rasa marah, cacimaki dan nafsu serakah untuk membalas dendam masih tidak seiring dgn ungkapan maaf di bulan Syawal ini. Kenapa kita sering tidak konsisten di antara perbuatan dengan keikhlasan?