  | 
| nur misuari- MNLF | 
Presiden Benigno Aquino III tidak akan 
dimaafkan kerana bersikap lepas tangan semasa Malaysia mengebom 
bertali-arus rakyat Filipina di Sabah, kata ketua pemimpin pemberontak 
Nur Misuari yang juga memberi amaran situasi  huru hara jika Sulu Sultan
 Jamalul Kiram III ditangkap dan pengikutnya diberkas.
 
Misuari merupakan ketua Barisan Pembebasan Nasional Moro (MNLF), 
sebuah gerakan politik Islam yang bertukar menjadi pemberontak pada 1969
 berkata Aquino perlu lebih tegas dan menghentikan serangan Malaysia ke 
atas pengikut Jamalul, bukannya menyebelahi negara jiran mereka 
tersebut.
“Apa yang beliau lakukan sangat buruk,” kata pemimpin tersebut yang dipetik dalam The Philippine Daily Inquirer.
“Beliau bukan seorang mengetuai negara ini apabila menyebelahi musuh kepada orangnya sendiri.”
“Atas alasan apa beliau (Aquino) bekerjasama seiring dengan Malaysia,
 sebuah kuasa penjajah yang menduduki tanah orang kita?  Saya 
menentangnya, sangat menentangnya dengan seluruh jiwa saya. Saya harap 
Presiden mendapat nasihat dengan baik. Saya  harap beliau akan sedar. 
Jika tidak kami tidak akan memaafkannya,” kata beliau semasa sidang 
media semalam di kediaman Jamalul  di bandar Taguig, Filipina.
“Dan terdapat cubaan untuk menangkap Sultan, saya difahamkan. Biarkan
 mereka buat, negara ini akan dalam huru-hara jika  mereka 
meneruskannya. Saya janji kepada anda.”
Misuari juga mendakwa telah memberikan amaran kepada Perdana Menteri 
Datuk Seri Mohd Najib Razak bahawa penentangan  kumpulan penceroboh Sulu
 di Sabah “dianggap sebagai sebuah peperangan”.
Beliau menambah kesediaannya utuk menyuruh cucu lelakinya yang 
tinggal di Malaysia dan sesiapa sahaja yang dikatakan saudara  Najib 
untuk bercakap dengan perdana menteri tentang sebarang kemungkinan jalan
 perdamaian untuk menghentikan ketegangan.
Pegawai kerajaan Filipina berulangkali mengulangi kritikan yang keras
 ke atas pentadbiran Aquino kerana kegagalannya untuk melindungi nyawa 
rakyatnya sendiri, yang mana kebanyakkan rakyat Filipina percaya 
tuntutan mereka ke atas tanah di Sabah adalah munasabah.
Laporan The Inquirer juga berkata Misuari bersetuju dengan 
Kesultanan Sulu yang mendakwa Sabah “adalah tanahair kami”, tetapi 
menafikan beliau mencetus pencerobohan mereka di Sabah ataupun 
pengikutnya dalam MNLF menyertai pertempuran di Lahad Datu di mana 
kebanyakkan mereka dilapor mendapat latihan ketenteraan di Malaysia.
Menurut beberapa laporan di media Filipina, Misuari menyifatkan ia 
sebagai “gila” dengan membuat kesimpulan beliau bertanggungjawab dalam 
insiden pencerobohan tersebut.
“Untuk sesiapa membuat spekulasi bahawa saya terlibat dengan 
pencerobohan (Sabah) adalah sesuatu yang gila,” kata beliau yang  
dipetik dalam laman mikro Twitter milik saluran media Filipina, ABS-CBN.
“Misuari juga menafikan membiayai kumpulan Kiram di Sabah.
“Ia bukan cara saya untuk melakukan sesuatu perkara,” lapor saluran tersebut yang menggunakan penggendali @ANCALERTS.
Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga 
menyokong kenyataan Misuari tersebut semasa sidang media semalam apabila
 mendakwa tiada bukti mengatakan pejuang MNLF yang dilatih Malaysia 
menyertai kumpulan penceroboh Muslim yang membuat tuntutan di Sabah.
“Kita hanya fokus kepada pengganas yang datang dari Sulu. Saya harap 
rakan-rakan kita berketurunan Sulu di Sabah dan seluruh negara tetap 
bersama-sama dengan kerajaan.
“Kita harus membezakan antara pengganas Sulu dengan orang Sulu yang 
berada di Sabah, sama ada mereka merupakan rakyat Malaysia berketurunan 
Sulu atau mereka yang mendapat taraf penduduk tetap di Sabah,” katanya.
Manila Bulletin semalam melaporkan Hadji Acmad Bayam, bekas 
ketua propaganda kumpulan pemisah itu, mengatakan MNLF  mempunyai 
senjata tersembunyi di dalam Sabah yang disembunyikan selepas latihan 
dan yakin pihak berkuasa Malaysia tidak akan menjumpai senjata 
berkenaan.
Senjata termasuklah G1 dan FAL yang diperbuat oleh Belgium di mana 
bekas presiden Libya Muammar Gadafi memberikan melalui  Malaysia, kata 
Acmad kepada akhbar tersebut.
Acmad dilaporkan tinggal di Sabah selama satu dekad dari 1976 hingga 
1986 sebelum menyerah kepada bekas presiden Filipina pada ketika itu, 
Fidel V Ramos.
Bekas pemimpin militan itu memberitahu akhbar ramai komander 
pemberontak lama dan ahli mereka telah memilih untuk menetap di Sabah.
Kebanyakan mereka adalah dari Sulu, Tawi-Tawi dan semenanjung 
Zamboanga di selatan Filipina, katanya, sambil menambah orang-orang MNLF
 termasuk dari Maguindanao, Irano dan Maranao.
Acmad memberitahu, salah seorang komander kanan yang dilatih Malaysia
 menghubunginya beberapa hari lalu, memberitahu beliau sedang 
menyenaraikan pahlawan Tausug dan lain-lain untuk menyokong pengikut 
Agbimuddin Kiram dan keturunan kesultanan Sulu yang mendakwa memiliki 
Sabah.
“Saya cuba menghubunginya semalam melalui telefon tetapi tidak dapat lagi.
“Saya fikir beliau gagal untuk menembusi sempadan laut Malaysia dan Filipina,” Acmad dilaporkan berkata.
Kumpulan penceroboh bersenjata tersebut telah mendarat di Lahad Datu 
pada 9 Februari dan menuntut hak mereka ke atas sebahagian kepulauan 
Borneo tersebut.
Sehingga semalam, masuk 22 hari sejak penceroboh tersebut mendarat, 
seramai 8 polis Malaysia dan 20 militan dilaporkan terkorban dalam 
insiden yang berlaku di tiga daerah di Sabah.