Seorang wanita ditahan oleh polis selepas mencetuskan kekecohan di
dalam pesawat Malindo Air penerbangan OD1622 ke Kuching, Sarawak petang
semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang DSP Zaldino Zaludin berkata
siasatan awal polis mendapati wanita berusia 41 tahun yang berasal dari
Kuching dan bekerja di Semenanjung itu dalam perjalanan pulang ke
kampung atas urusan keluarga.
Menurutnya kejadian berlaku pada jam 2.20 petang ketika kru penerbangan sedang menyiapkan penumpang sebelum pesawat berlepas.
“Pramugari telah menegur wanita terbabit agar meletakkan beg yang
berada di hujung kakinya di tempat menyimpan barang di bahagian atas,
namun wanita itu terus memarahi pramugari tersebut dengan mengeluarkan
perkataan ugutan,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Wanita bawa bom |
Menurut Zaldino, pramugari memaklumkan perkara itu kepada juruterbang
yang menghubungi pihak keselamatan Malaysia Airport Holdings Berhad
(MAHB) untuk mengeluarkan wanita itu dari pesawat.
“Penerbangan yang dijadualkan ke Kuching itu tertangguh selama 2 jam
22 minit dan pesawat itu selamat berlepas pada 4.42 petang tadi,”
katanya dan menambah pihaknya akan mendapatkan perintah tahanan reman
esok.
Sementara itu, Ketua Pegawai Komunikasi Malindo Air Raja Sa’aadi Raja Amrin ketika dihubungi turut mengesahkan kejadian.
“Wanita itu mula marah-marah sebelum menaiki pesawat lagi dan memaki
hamun pramugari selain menyatakan terdapat bom di dalam pesawat itu,”
katanya kepada Bernama.