BANYAK kali juga saya membuat liputan persidangan perdagangan antarabangsa yang membabitkan negara kita.
Ia membabitkan perbincangan sama ada di peringkat ASEAN hinggalah ke
peringkat APEC, PBB sehinggalah ke peringkat Dialog Antarabangsa
Langkawi (LID) dan Dialog Antarabangsa Selatan Afrika (SAID) -- di zaman
Tun Dr. Mahathir dahulu.
Bukan mudah untuk memeterai sesuatu perjanjian itu, kerana ia bukan
sahaja membabitkan soal perdagangan itu semata-mata, tetapi akhirnya ia
perlu mengambil kira kepada soal keselamatan dan kedaulatan tanah air
kita.
Jika percaturan itu membabitkan negara kuasa besar, maka sifatnya
lebih berhati-hati lagi, kerana bimbang ia akan menjadi berat sebelah
dan merugikan kita.
Ada antara perjanjian mensyaratkan kita mempertaruhkan" beberapa
perkara dasar membabitkan hak-hak di dalam kontrak sosial - DEB.
Sebab itu para perunding -- diplomat dan para ekonomis yang bertarung
untuk mencapai sesuatu persetujuan itu wajib mempunyai ciri-ciri
nasionalisme" dan cintakan agama, bangsa dan negara" yang tinggi di
dalam darah daging mereka.
Kini negara kita sedang bergelumang dengan satu lagi perjanjian
perdagangan iaitu dikenali sebagai TPPA atau Perjanjian Perkongsian
Transpasifik.
Para perunding dalam TPPA banyak melibatkan para pegawai dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Tapi benarkah, kononnya ada yang mengatakan para perunding kita kini
sudah hilang ciri-ciri nasionalisme" dan cintakan agama, bangsa dan
negara" di dalam jiwa raga mereka?
Jika itu benar, maka ia amat-amatlah serius.
Ikuti tulisan ini:
Penjajahan AS dan Barat bukan hanya datang dalam bentuk kapal perang dan senjata api.
Kalau ada yang masih ingat, AS sebenarnya sudah berkali-kali mencuba
untuk menguasai Selat Melaka. Sebabnya, itulah satu-satunya jalan
perdagangan laut yang paling dekat untuk ke Timur Jauh. Semua kuasa
besar mengiktiraf hakikat bahawa, sesiapa yang menguasai Selat ini, maka
dia akan menguasai ekonomi dunia.
EYE IN THE SKY adalah antara alasan awal yang digunakan AS bagi
menguasai Selat Melaka kerana kononnya mahu memastikan keselamatan
kapal-kapal dagang daripada serangan lanun. Terbukti kini, masalah lanun
di Somalia yang lebih serius.
Inilah kelebihan yang dianugerahkan Allah SWT kepada bumi bertuah
Malaysia. Dan ia bukanlah sesuatu perkara yang baru. Negara kita pernah
digelar sebagai Suvarnabhumi atau Golden Chersonese yang membawa maksud
sebagai Semenanjung Emas.
Memang satu ketika dahulu negara kita kaya dengan emas. Sebab itulah,
hampir seribu tahun bangsa kita berperang dengan kuasa-kuasa besar
dunia untuk mempertahankan kedaulatan tanah air tercinta ini. Walaupun,
beberapa ratus tahun dijajah dan merosot wilayah kuasa, namun Allah SWT
masih lagi sayangkan bangsa Melayu dan mengembalikan amanah turun
temurun nenek moyang kita seperti yang ada hari ini.
Sebab itulah penting untuk menjaga dengan sepenuh jiwa raga kita
amanah turun-temurun ini. Kita cukup marah dengan apa yang berlaku di
Mesir, sehinggakan ada di antara kita menempelak kerajaan sendiri kerana
hanya menyimpan aset ketenteraan negara ketika rakyat Mesir dibunuh.
Persoalan untuk mulut yang lancang berkata-kata sedemikian: Apakah
kita mahu berperang dengan Mesir yang jauhnya beribu-ribu batu itu?
Dan tidakkah anda semua terfikir apakah impaknya kepada rakyat
Malaysia yang sedang belajar dan bekerja di sana jika Kerajaan Mesir
sudah merasakan Malaysia memusuhi mereka? Sedangkan rakyat sendiri boleh
dibunuh begitu sahaja, apakan pula rakyat asing?
Jadi, bila bercakap biarlah menggunakan akal fikiran yang waras.
Kalau sudah mendidih sangat darah hendak mati lawan tentera Mesir, beli
sahaja tiket penerbangan ke sana dan terus sahajalah berjuang. Tiada
siapa yang tahan. Ada berani? Cakap memang mudah.
Berbalik kembali kepada tajuk dan tujuan artikel ini, sedang para
syuhada Malaysia sibuk dan berkira-kira hendak syahid di Mesir, mereka
tidak sedar dan mungkin tidak ambil peduli pun yang ada si KITOL sedang
berselok" dengan kuasa asing atau lebih tepatnya AS melalui TPPA ini.
|
MITI malaysia |
Inilah masalahnya dalam kerajaan ketika ini. Terlalu banyak penasihat yang berkepentingan.
Sesiapa yang kuat membodek bos, selalu datang mengampu ke bilik bos,
ajak bos makan, lapor perkembangan atau adu domba, maka orang itulah
yang akan diberikan ganjaran.
Biarlah tiada idea bernas atau pencapaian yang dicatatkan, yang
penting bos lebih ingatkan dirinya berbanding orang lain. Sebab itulah
juga, ada sesetengah agensi kerajaan ini, jika ada misi, kumpulan itu
sahajalah yang akan pergi. Seolah-olahnya agensi itu hanya ada tiga ke
empat orang pegawai sahaja.
Kepimpinan negara terutamanya pihak menteri juga sepatutnya memainkan
peranan untuk mengkaji sendiri setiap kertas cadangan yang disuakan
kepada mereka.
Siapa yang berani mempermainkan Tun Mahathir dahulu? Semua keputusan
yang dibuat oleh beliau diteliti setiap perincian dan ditentukan
timbangan baik buruknya.
Jangan hanya mengharapkan nasihat daripada kelompok kecil penasihat
dan bos-bos besar kementerian sahaja. Berkemungkinan mereka juga
berkepentingan dan sedang menunggu laba.
Apabila Menteri MITI, Mustapa Mohamed (Tok Pa) memberikan jaminan
sedemikian, adakah beliau tahu yang si KITOL tersebut yang beria-ia
terbang ke Peru untuk melobi Malaysia dimasukkan ke TPPA, dan bukannya
atas jemputan AS?
Adakah Tok Pa selaku Menteri yang agak senior ingat bahawa TPPA ini
sama sahaja seperti EAEC yang pernah dicadangkan oleh Tun Mahathir satu
ketika dahulu, tetapi berlainan objektif?
Objektif besar TPPA kini adalah bagi mewujudkan blok ekonomi Asia Timur yang berkiblatkan AS bagi mengekang kuasa ekonomi China.
Adakah Tok Pa juga sedar bahawa TPPA ini akan membunuh semua IKS di
negara ini kerana tidak dapat bersaing dengan standard yang ditetapkan
oleh TPPA sendiri?
Tok Pa tidak sedarkah IKS inilah yang banyak menyumbang kepada
penjanaan ekonomi dalam negara di saat suasana ekonomi dunia dan AS yang
merudum.
TPPA ini bakal menjadikan semua rakyat Malaysia sebagai konsumer
produk mereka kerana tiada siapa lagi yang mampu untuk membangunkan
perniagaan sendiri untuk bersaing dengan mereka.
Adakah Tok Pa juga sedar yang kementerian beliau dikuasai oleh si-si KITOL yang memang bencikan DEB?
TPPA ini adalah serampang dua mata untuk menghapuskan DEB apabila peluang perniagaan diliberalisasikan.
Adakah sebuah syarikat yang modalnya RM2 juta mampu bersaing dengan
syarikat yang bermodalkan RM200 juta? Itupun jika mereka masih lagi
menggunakan perantaraan ringgit lagi selepas itu.
Apa akan jadi jika DEB tiada Tok Pa?
Sedangkan ketika DEB wujud selama hampir 50 tahun pun Melayu masih
tidak dapat menguasai 50 peratus kek ekonomi, boleh bayangkan keadaan
jika DEB tiada langsung?
Itu kalau kita cerita tentang soal ekonomi. Pakatan pembangkang
melaungkan slogan UBAH. Kenapa slogan mereka tidak berjaya pada PRU-13
lalu? Kerana rakyat masih senang hidup dan mencari rezeki.
Namun apa akan jadi jika para peniaga hilang mata pencarian dan rakyat Malaysia benar-benar bergantung kepada ihsan ekonomi AS?
Maka jika AS mahu rakyat kita lapar, maka laparlah mereka. Dan jika
mereka sering lapar, slogan UBAH itulah akan menjadi matlamat hidup
mereka!
Jika dahulu Kerajaan Melayu Melaka tumbang kerana si KITOL membuka
pintu kota Melaka kepada Portugis, maka sejarah kini berulang. Kalau Tok
Pa tak percaya, carilah si KITOL yang dimaksudkan itu kerana berjaya
memasukkan Malaysia ke TPPA.
Sayangnya Tok Pa, seorang pemimpin yang berhati murni, namun mudah diperkotak-katikkan oleh musuh dalam selimut.
Sepatutnya Tok Pa merungkaikan anasir liberal dalam MITI yang telah ditanamkan bertahun-tahun oleh penyandangnya dahulu!
Oleh Zaini Hassan