August 22, 2013

Si Kitol di MITI...(?)

BANYAK kali juga saya membuat liputan persidangan perdagangan antarabangsa yang membabitkan negara kita.

Ia membabitkan perbincangan sama ada di peringkat ASEAN hinggalah ke peringkat APEC, PBB sehinggalah ke peringkat Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) dan Dialog Antarabangsa Selatan Afrika (SAID) -- di zaman Tun Dr. Mahathir dahulu.

Bukan mudah untuk memeterai sesuatu perjanjian itu, kerana ia bukan sahaja membabitkan soal perdagangan itu semata-mata, tetapi akhirnya ia perlu mengambil kira kepada soal keselamatan dan kedaulatan tanah air kita.

Jika percaturan itu membabitkan negara kuasa besar, maka sifatnya lebih berhati-hati lagi, kerana bimbang ia akan menjadi berat sebelah dan merugikan kita.

Ada antara perjanjian mensyaratkan kita “mempertaruhkan" beberapa perkara dasar membabitkan hak-hak di dalam kontrak sosial - DEB.

Sebab itu para perunding -- diplomat dan para ekonomis yang bertarung untuk mencapai sesuatu persetujuan itu wajib mempunyai ciri-ciri “nasionalisme" dan “cintakan agama, bangsa dan negara" yang tinggi di dalam darah daging mereka.

Kini negara kita sedang bergelumang dengan satu lagi perjanjian perdagangan iaitu dikenali sebagai TPPA atau Perjanjian Perkongsian Transpasifik. 

Para perunding dalam TPPA banyak melibatkan para pegawai dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Tapi benarkah, kononnya ada yang mengatakan para perunding kita kini sudah hilang ciri-ciri “nasionalisme" dan “cintakan agama, bangsa dan negara" di dalam jiwa raga mereka?

Jika itu benar, maka ia amat-amatlah serius.
Ikuti tulisan ini:
Penjajahan AS dan Barat bukan hanya datang dalam bentuk kapal perang dan senjata api.
Kalau ada yang masih ingat, AS sebenarnya sudah berkali-kali mencuba untuk menguasai Selat Melaka. Sebabnya, itulah satu-satunya jalan perdagangan laut yang paling dekat untuk ke Timur Jauh. Semua kuasa besar mengiktiraf hakikat bahawa, sesiapa yang menguasai Selat ini, maka dia akan menguasai ekonomi dunia.

EYE IN THE SKY adalah antara alasan awal yang digunakan AS bagi menguasai Selat Melaka kerana kononnya mahu memastikan keselamatan kapal-kapal dagang daripada serangan lanun. Terbukti kini, masalah lanun di Somalia yang lebih serius.

Inilah kelebihan yang dianugerahkan Allah SWT kepada bumi bertuah Malaysia. Dan ia bukanlah sesuatu perkara yang baru. Negara kita pernah digelar sebagai Suvarnabhumi atau Golden Chersonese yang membawa maksud sebagai Semenanjung Emas.

Memang satu ketika dahulu negara kita kaya dengan emas. Sebab itulah, hampir seribu tahun bangsa kita berperang dengan kuasa-kuasa besar dunia untuk mempertahankan kedaulatan tanah air tercinta ini. Walaupun, beberapa ratus tahun dijajah dan merosot wilayah kuasa, namun Allah SWT masih lagi sayangkan bangsa Melayu dan mengembalikan amanah turun temurun nenek moyang kita seperti yang ada hari ini.

Sebab itulah penting untuk menjaga dengan sepenuh jiwa raga kita amanah turun-temurun ini. Kita cukup marah dengan apa yang berlaku di Mesir, sehinggakan ada di antara kita menempelak kerajaan sendiri kerana hanya menyimpan aset ketenteraan negara ketika rakyat Mesir dibunuh.

Persoalan untuk mulut yang lancang berkata-kata sedemikian: Apakah kita mahu berperang dengan Mesir yang jauhnya beribu-ribu batu itu?

Dan tidakkah anda semua terfikir apakah impaknya kepada rakyat Malaysia yang sedang belajar dan bekerja di sana jika Kerajaan Mesir sudah merasakan Malaysia memusuhi mereka? Sedangkan rakyat sendiri boleh dibunuh begitu sahaja, apakan pula rakyat asing?

Jadi, bila bercakap biarlah menggunakan akal fikiran yang waras. Kalau sudah mendidih sangat darah hendak mati lawan tentera Mesir, beli sahaja tiket penerbangan ke sana dan terus sahajalah berjuang. Tiada siapa yang tahan. Ada berani? Cakap memang mudah.

Berbalik kembali kepada tajuk dan tujuan artikel ini, sedang para ‘syuhada’ Malaysia sibuk dan berkira-kira hendak syahid di Mesir, mereka tidak sedar dan mungkin tidak ambil peduli pun yang ada si KITOL sedang “berselok" dengan kuasa asing atau lebih tepatnya AS melalui TPPA ini.


MITI malaysia


Inilah masalahnya dalam kerajaan ketika ini. Terlalu banyak penasihat yang berkepentingan.

Sesiapa yang kuat membodek bos, selalu datang mengampu ke bilik bos, ajak bos makan, lapor perkembangan atau adu domba, maka orang itulah yang akan diberikan ganjaran.
Biarlah tiada idea bernas atau pencapaian yang dicatatkan, yang penting bos lebih ingatkan dirinya berbanding orang lain. Sebab itulah juga, ada sesetengah agensi kerajaan ini, jika ada misi, kumpulan itu sahajalah yang akan pergi. Seolah-olahnya agensi itu hanya ada tiga ke empat orang pegawai sahaja.

Kepimpinan negara terutamanya pihak menteri juga sepatutnya memainkan peranan untuk mengkaji sendiri setiap kertas cadangan yang disuakan kepada mereka.

Siapa yang berani mempermainkan Tun Mahathir dahulu? Semua keputusan yang dibuat oleh beliau diteliti setiap perincian dan ditentukan timbangan baik buruknya.

Jangan hanya mengharapkan nasihat daripada kelompok kecil penasihat dan bos-bos besar kementerian sahaja. Berkemungkinan mereka juga berkepentingan dan sedang menunggu laba.

Apabila Menteri MITI, Mustapa Mohamed (Tok Pa) memberikan jaminan sedemikian, adakah beliau tahu yang si KITOL tersebut yang beria-ia terbang ke Peru untuk melobi Malaysia dimasukkan ke TPPA, dan bukannya atas jemputan AS?

Adakah Tok Pa selaku Menteri yang agak senior ingat bahawa TPPA ini sama sahaja seperti EAEC yang pernah dicadangkan oleh Tun Mahathir satu ketika dahulu, tetapi berlainan objektif?

Objektif besar TPPA kini adalah bagi mewujudkan blok ekonomi Asia Timur yang berkiblatkan AS bagi mengekang kuasa ekonomi China.

Adakah Tok Pa juga sedar bahawa TPPA ini akan membunuh semua IKS di negara ini kerana tidak dapat bersaing dengan standard yang ditetapkan oleh TPPA sendiri?

Tok Pa tidak sedarkah IKS inilah yang banyak menyumbang kepada penjanaan ekonomi dalam negara di saat suasana ekonomi dunia dan AS yang merudum.

TPPA ini bakal menjadikan semua rakyat Malaysia sebagai konsumer produk mereka kerana tiada siapa lagi yang mampu untuk membangunkan perniagaan sendiri untuk bersaing dengan mereka.

Adakah Tok Pa juga sedar yang kementerian beliau dikuasai oleh si-si KITOL yang memang bencikan DEB?

TPPA ini adalah serampang dua mata untuk menghapuskan DEB apabila peluang perniagaan diliberalisasikan.

Adakah sebuah syarikat yang modalnya RM2 juta mampu bersaing dengan syarikat yang bermodalkan RM200 juta? Itupun jika mereka masih lagi menggunakan perantaraan ringgit lagi selepas itu.

Apa akan jadi jika DEB tiada Tok Pa?
Sedangkan ketika DEB wujud selama hampir 50 tahun pun Melayu masih tidak dapat menguasai 50 peratus kek ekonomi, boleh bayangkan keadaan jika DEB tiada langsung?

Itu kalau kita cerita tentang soal ekonomi. Pakatan pembangkang melaungkan slogan UBAH. Kenapa slogan mereka tidak berjaya pada PRU-13 lalu? Kerana rakyat masih senang hidup dan mencari rezeki.

Namun apa akan jadi jika para peniaga hilang mata pencarian dan rakyat Malaysia benar-benar bergantung kepada ihsan ekonomi AS?

Maka jika AS mahu rakyat kita lapar, maka laparlah mereka. Dan jika mereka sering lapar, slogan UBAH itulah akan menjadi matlamat hidup mereka!

Jika dahulu Kerajaan Melayu Melaka tumbang kerana si KITOL membuka pintu kota Melaka kepada Portugis, maka sejarah kini berulang. Kalau Tok Pa tak percaya, carilah si KITOL yang dimaksudkan itu kerana berjaya memasukkan Malaysia ke TPPA. 

Sayangnya Tok Pa, seorang pemimpin yang berhati murni, namun mudah diperkotak-katikkan oleh musuh dalam selimut.

Sepatutnya Tok Pa merungkaikan anasir liberal dalam MITI yang telah ditanamkan bertahun-tahun oleh penyandangnya dahulu!


 Oleh Zaini Hassan


No comments: