July 27, 2015

Jangan dijolok sarang tebuan...(?)


.....................akhir-akhir ini terdapat tindakan-tindakan agensi-agensi dalam kerajaan yang diragui ramai. Mereka bertanya akan kewajaran tindakan-tindakan tersebut dan membahaskan tentang alasan-alasan untuk tindakan-tindakan itu.

Contohnya, penggantungan penerbitan-penerbitan yang telah menyiarkan berita-berita dan laporan-laporan tentang 1MDB. Adakah wajar tindakan menggantung dan menghalang pencetakan dan siaran artikel-artikel yang ditulis dalam penerbitan tersebut, jika tidak benar-benar menggugat negara?

1MDB bukan merupakan satu perkara yang kecil atau yang akan hilang daripada ingatan masyarakat semata-mata kerana satu atau dua media cetak diharamkan atau digantung!

Ia sudah menjadi perbualan awam, perbahasan awam jua di dalam dan di luar negara!

Media sosial tidak habis-habis membincangkan segala yang mungkin tentang isu tersebut tidak kira sama ada betul atau pun tidak, sama ada fakta atau pun fitnah, sama ada realiti atau pun rekaan semata-mata.

Media sosial amat berpengaruh. Dan tiada sebuah kerajaan yang boleh memadamkan Media sosial melalui sekatan, larangan atau pun tapisan. Media sosial tidak ada `talian’ yang boleh diputuskan begitu sahaja.

Jangan dijolok sarang tebuan-Rafidah

Sekurang-kurangnya apa yang tertera dalam media cetak adalah jelas untuk dibaca oleh semua. Ia tidak boleh dipadamkan begitu sahaja. Apatah lagi jika ia dicetak secara rasmi iaitu tidak berbentuk gosip atau secara sinis dan tanpa percaya ada keteguhan bukti seperti cara `surat layang’ dalam tahun-tahun 1970-an dan 1980-an.

Pihak-pihak berkuasa wajar tidak semata-mata menunjukkan taring tanda ada kuasa. Tetapi elok digembleng tenaga semua pihak, secara rasional dan dengan fikiran terbuka, untuk saling membantu mencari kebenaran dan penyelesaian.

Rakyat dan dunia memerhati dengan rapi setiap langkah yang diambil. Jika mana-mana langkah itu tersilap atau tidak tepat, maka tidak boleh disalahkan sesiapa yang memerhati daripada membuat analisis dan andaian masing-masing.

Rakyat Malaysia yang menegur dan membuat komen secara objektif, tidak boleh di tuduh `anti’ itu dan ini. Perlu diambil kira pendapat rakyat, terutama yang sayangkan negara ini.

Jika tersalah langkah rakyat yang pada hakikatnya menyokong kerajaan, akan kecewa. Boleh dikatakan mereka ini adalah `anti apa yang tidak betul’. Mulut tempayan boleh ditutup, tidak mulut manusia.

Apatah lagi jika mulut manusia sambung menyambung melalui talian Internet dan media sosial secara global. Berhati-hati apabila memikirkan untuk mengambil apa jua tindakan. Jangan dijolok sarang tebuan.



TAN SRI RAFIDAH AZIZ 
pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama 35 tahun, menteri selama 28 tahun dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama 38 tahun. Beliau kini ialah Profesor Adjung di Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM) selain menjadi Pengerusi AirAsiaX, Megasteel dan Pinewood Iskandar Malaysia Studio.

~dipetik.



No comments: