February 12, 2013

Arab Spring...(?)

musa hasan
 


Dakwaan bahawa kekacauan boleh berlaku selepas Pilihan Raya 2013 boleh menggugat pengundi dari mengundi dengan bebas, kata pemimpin Pakatan Rakyat (PR), yang mahu bekas ketua polis negara itu menghormati proses demokrasi.

Semalam Bernama melaporkan Tan Sri Musa Hassan berkata pihak yang kalah dalam pilihan raya akan datang mungkin akan melancarkan “Arab Spring” untuk menjatuhkan kerajaan.

“Sebagai bekas ketua polis negara, beliau harus berhenti membuat spekulasi seperti ini,” kata pemimpin Pemuda Sosialis DAP kepada The Malaysian Insider.

“Ini tidak memberi keyakinan kepada orang ramai untuk mengundi secara bebas dalam pilihan raya akan datang.

“Kenyataan beliau tidak membantu apa-apa. Beliau seharusnya percaya dengan pilihan rakyat.”
Bernama kemudian melaporkan kenyataan Musa bahawa polis seharusnya memulakan pencarian maklumat bagi mengelakkan “Arab Spring”, satu terma yang digunakan merujuk kepada kebangkitan politik  di Asia Barat, dari datang ke negara ini.

Bekas ketua polis negara itu berkata undang-undang menentang keganasan kini sudah dilumpuhkan dengan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), undang-undang semenjak zaman British yang membenarkan penahanan tanpa bicara, dimansuhkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa terdapat konspirasi pembangkang untuk cuba membuat perkara yang sama seperti di Asia Barat sekiranya PR gagal menawan Putrajaya.

Beliau menuduh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap tentang itu secara terbuka dalam wawancara bersama media Australia baru-baru ini.

Beberapa pemimpin dari Barisan Nasional (BN) juga membuat tuduhan yang sama.
Pemimpin PR berkata tuduhan tersebut bertujuan untuk menakut-nakutkan pengundi dalam pilihan raya akan datang kerana sokongan terhadap pembangkang kini semakin kuat.

“Jika sesiapa yang lancarkan ‘Arab Spring’, itu sudah pasti dari pihak BN,” kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

Pemerhati melihat selepas 55 tahun pemerintahan BN, gabungan pemerintah tersebut mungkin boleh tewas dalam pilihan raya yang mesti berlangsung sebelum Jun.

Dan kerana itu, pemimpin PR berkata pihak BN yang akan melakukan keganasan.
“Saya bimbang BN akan lakukan perkara sedemikian jika mereka kalah,” kata Salahuddin yang merupakan ahli parlimen Kubang Kerian.

“Pada pihak kita, kita tak risau apa-apa. Kita dari PAS sudah biasa kalah, kita pernah menang Terengganu dan kemudian kita kalah dan kita terima.

“Kita guna sistem demokrasi, walaupun kita dinafikan untuk berlawan secara adil, kita terima.”
Bernama turut melaporkan Musa menuduh terdapat anasir asing yang akan campur tangan dalam politik negara, dengan mengatakan PR cuba mempromosi fahaman liberalisme Barat yang bertentangan dengan Islam yang merupakan agama Persekutuan.

Dakwaan Musa timbul selepas beliau dilihat membuat kenyataan pro-pembangkang mengkritik salahlaku kerajaan dan timbul spekulasi beliau menyertai PR.

Naib Presiden PKR Chua Tian Chang, apabila ditanya, berkata kenyataan Musa mungkin diputarbelit.

“Itu saya tak pasti, sama ada ini dibawa oleh Musa Hassan atau tidak,” kata ahli parlimen Batu itu kepada The Malaysian Insider. “Saya ada indirect contact dengan beliau, saya rasa kenyataan beliau diputar belit.”

Chua berkata beliau percaya polis akan kekal neutral dan jika ada transisi kuasa ia akan berlangsung dengan aman.

No comments: