January 24, 2014

Di Sebalik Kisah Cikgu Choy...(?)


Cikgu Choy, dua dari kanan



Diskriminasi dan penindasan terhadap pekerja Islam di premis bukan Islam sering diperkatakan. Ia telah mencetuskan kebimbangan dan rasa tidak puas hati kepada penganut Islam. Ia juga memberi mesej buruk bahawa kedudukan orang Islam di negara Islam sendiri tidak dihormati.

Yang terbaru seorang guru muallaf telah diugut keselamatannya kerana beliau hanya menggunakan hak peribadinya sebagai seorang muslim untuk mengamalkan amalan agamanya sendiri tanpa menyakiti dan menghina bangsa lain.

Choy Yi San (Cikgu Choy), 25 tahun, berasal dari Seremban. Beliau merupakan anak kedua daripada dua orang adik-beradik. Beliau memeluk agama Islam ketika usianya 23 tahun. Pada mulanya, Cikgu Choy tidak bertudung kerana belum bersedia untuk mendedahkan keislamannya kepada keluarga dan rakan-rakannya.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nan Ya, Kota Tinggi pada awal tahun 2013 selepas menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan di sebuah institut perguruan.

Selepas setahun mengajar, beliau bertekad memakai tudung di sekolah sebagai salah satu azam di tahun baharu. Identiti baru sebagai muslimah sejati yang bertudung dan menutup aurat telah lama tersemat di hati sejak memeluk agama Islam.

Hari Rabu, 1 Januari yang merupakan hari pertama persekolahan sesi 2014 adalah hari pertama beliau bertudung di sekolah. Kemunculan beliau bertudung ternyata tidak disenangi oleh pihak pentadbiran sekolah. Beliau telah menerima jelingan sinis daripada daripada beberapa orang termasuk Guru Besar, Chiew Swee Tuan.

Pada 6 Januari, Cikgu Choy ke pejabat Guru Besar untuk membincangkan agihan tugas guru kerana beliau dilantik sebagai PK Pentadbiran lantikan dalaman.  Guru Besar mengambil kesempatan pertemuan itu untuk menyoal dan memberi “nasihat” mengenai keIslaman Cikgu Choy. Antara “nasihat” beliau ialah masih berpeluang lagi untuk kembali ke agama asal, masih banyak pilihan lagi, kenapa hendak mengurung diri dalam agama Islam. Tetapi Cikgu Choy tidak langsung mengendahkan “nasihat” itu.

Pada 7 Januari, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah, Encik Pang telah datang ke sekolah untuk memeriksa perkembangan pertukaran jubin Bilik Sumber Sekolah. Beliau tersempak dengan Cikgu Choy dan bersapa seperti biasa walaupun agak terkejut dengan penampilan Cikgu Choy yang bertudung, kemudian beliau ke pejabat Guru Besar.

 DIUGUT BUNUH

 Tidak lama kemudian, Guru Besar meminta Cikgu Choy ke pejabatnya. Pada awal pertemuan, Encik Pang memberi pandangan negatifnya mengenai keIslaman Cikgu Choy. Keadaan semakin tegang dan serius apabila Cikgu Choy menerima 3 ugutan dari Encik Pang yang melibatkan maruah dan keselamatan Cikgu Choy jika tidak membuka tudung semasa bertugas.

 Pertama: Jika beliau tidak membuka tudung, beliau dan keluarganya akan dimalukan di sekolah.

 Kedua: Jika beliau masih tidak membuka tudung, pihak sekolah akan memanggil wartawan lalu beliau dan keluarganya akan dimalukan di hadapan wakil media itu dan disiarkan di akhbar.

 Ketiga: Jika beliau masih tidak membuka tudung, En Phang akan menembak Cikgu Choy dan kemudian En Phang akan menembak mati dirinya sendiri.

Cikgu Choy dinasihati untuk membuat laporan polis kerana ugutan bunuh bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh. Beliau kemudiannya membuat satu laporan polis di Balai Polis Teluk Sengat.

Selepas laporan polis dibuat, pihak PPD bertindak segera dengan menukar Cikgu Choy ke sekolah lain di Kota Tinggi atas alasan keselamatan. 

Menurut Cikgu Choy lagi, kes ini bukan isu terpencil di sekolah tersebut bahkan terdapat beberapa orang murid perempuan beragama Islam di sekolah itu yang dilarang bertudung oleh pihak sekolah. Perkara ini bercanggah dengan kenyataan Guru Besar yang disiarkan oleh Utusan Malaysia yang mengatakan beliau menghormati pemakaian tudung oleh orang Islam.

Suatu yang dikesali ialah tiada tindakan tegas yang diambil oleh pihak berkuasa terhadap pihak pengurusan sekolah terutamanya En Phang. Meskipun siasatan polis sedang dijalankan, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan ke atas pihak pengurusan sekolah kerana pihak sekolah telah menafikan hak asasi seorang muslimah bahkan melakukan tindakan ekstrim dengan pelbagai ugutan memalukan dan mengancam keselamatan.

Apakah dengan tiada tindakan tegas daripada pihak berkuasa ini bermakna memberi laluan luas kepada mana-mana institusi bukan Islam untuk melakukan pelbagai diskriminasi terhadap pekerja Islam yang bekerja di bawah seliaan mereka?




No comments: