January 23, 2014

Nurul tuntut fasakh...(?)

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat


DUNIA maya hari ini kecoh apabila digemparkan dengan desas-desus mengenai rumah tangga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar yang didakwa menuntut cerai daripada suaminya Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.

Nurul Izzah merupakan anak kepada Ketua Umum PKR dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau dikatakan membuat permohonan untuk bercerai secara fasakh menerusi satu tuntutan di sebuah mahkamah syariah hujung tahun lepas.

Menurut laporan beberapa portal dan blog, Raja Ahmad Shahrir Iskandar dipercayai telah menerima tuntutan berkenaan pada Khamis lepas dan memohon penangguhan selama dua minggu bagi membolehkan beliau menyediakan kesnya. Usaha pihak media untuk menghubungi pasangan itu gagal.

Nurul Izzah, 33 tahun dan Raja Ahmad Shahrir Iskandar, 35 tahun dinikahkan pada 9 Mei 2003.

Majlis perkahwinan pasangan itu diadakan di kediaman Anwar, di Bukit Bandaraya, dekat sini.

Hasil carian dan pemeriksaan lanjut susulan kekecohan ini hari ini menunjukkan wujudnya kes permohonan cerai di antara Nurul Izzah dan suaminya. Kes difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur di Jalan Duta.

Ketika dihubungi, jurucakap mahkamah mengesahkan telah pun dijadualkan untuk didengar di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Ab Malek Awang.

Fasakh ialah satu kaedah penceraian dalam Islam yang hanya boleh dimohon oleh pihak isteri kepada mahkamah atau kadi untuk membatalkan sesuatu perkahwinan itu atas sebab dari perbuatan suami dalam keadaan tertentu.


sumber:mynewshub

No comments: