Biografi Rosmah Mansor |
Buku biografi Datin Seri Rosmah Mansor yang bakal
terbit pada pertengahan Januari depan hari ini dipromosi sebagai
penerbitan yang "bakal menjawab secara telus" isu serta dakwaan fitnah
yang dikaitkan dengan isteri perdana menteri itu.
Penasihat penerbitannya Datuk Ahmad Maslan berkata perkara itu
diperuntukkan khas dalam satu bab untuk buku setebal 164 halaman itu.
"Bab menarik dalam buku ini ialah bab soal jawab secara terus terang
dan beliau (Rosmah) akan jawab secara terus terang tentang pelbagai isu
dan fitnah," katanya.
Jelasnya, ia merupakan salah satu objektif buku yang memuatkan
pelbagai gambar, serta menceritakan kisah hidup Rosmah dari kecil
sehingga kini.
"Kalau ada 10 objektif (penerbitan buku), salah satu objektifnya
ialah nak jawab tohmahan dan ceritakan siapa sebenarnya beliau yang
kadang-kadang disalah anggap dan pelbagai tuduhan telah dibuat,"
katanya.
"Bukan nak jawab tuduhan (semata-mata) tapi untuk gambarkan siapakah
sebenarnya Datin Seri Rosmah dan perjuangannya," kata Ahmad Maslan.
Ketika ditanya, Ahmad bagaimanapun enggan menyatakan bentuk dakwaan fitnah yang akan diperjelaskan Rosmah dalam buku berkenaan.
"Kita tunggulah. Kemudian," katanya ketika ditanya pemberita dalam
sidang media selepas pelancaran buku yang bakal diterbitkan Yayasan
Amanah Perdana Malaysia (YAPM) itu.
Jawapan sama juga diberikan oleh pengerusi YAPM, Shamsulbahrin Ludin yang bertindak sebagai penerbit buku berkenaan.
"Kena tunggulah. Kita tunggu. Apa yang disediakan akan diteliti dan bila selesai akan dijawab," katanya.
Turut hadir dalam majlis pelancaran hari ini ialah perdana menteri
Datuk Seri Najib Razak serta Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.
Sementara itu, Bernama melaporkan pada majlis hari ini, sebuah lagu
dicipta khas untuk Rosmah, bertajuk 'Wanita Perdana' didendangkan
penyanyi terkenal tanah air, Misha Omar.
Lagu itu dicipta oleh Pak Ngah (Datuk Suhaimi Mohd Zain) dan liriknya
nukilan penggiat teater serta pengarah filem dan drama, Rosminah Tahir.
Shamsulbahrin pada sidang media yang sama, berkata buku itu ditulis
secara santai dan idea untuk menerbitkannya tercetus ketika beliau
berada di London pada Mei lalu untuk menghadiri majlis bersama Perdana
Menteri dan isteri di negara berkenaan.
"Ekoran daripada pertemuan tersebut dan melihat laporan yang tersiar
di internet, saya mendapati banyak perkara yang dilaporkan bertentangan
dengan apa sebenarnya yang terjadi.
"Hasil daripada kesedaran tersebut, saya berunding dengan Datuk Ahmad
Maslan untuk merangka gerak kerja bagi menyediakan biografi ini, dengan
dibantu dua penulis tersebut untuk menyediakan buku ini melalui proses
penyelidikan, temu bual dan temu ramah terutama bersama Datin Seri
Rosmah dan orang yang dikenal pasti," katanya.
Shamsulbahrin berkata penyediaan buku tersebut telah selesai dan pada
masa ini dalam proses penelitian dan semakan bagi tujuan percetakan.
Dua penulis yang mengusahakan buku berkenaan ialah Siti Rohayah Attan dan Noraini Abdul Razak.
Siti Rohayah berkata terdapat 12 bab dalam buku itu dan memaparkan
kehidupan Rosmah sejak zaman kanak-kanak, remaja, zaman persekolahan,
universiti, alam pekerjaan, perkahwinan, anak-anak dan keluarga serta
kehidupan sebagai isteri pemimpin.
"Terdapat pandangan rakan dan kenalan lama antaranya Tun Dr Siti
Hasmah Mohd Ali, rakan-rakan yang dikenali sejak 1964 di Kolej Tunku
Kursiah yang mana pada zaman itu, beliau mempunyai empat rakan yang
digelar pengetuanya sebagai 'the giddy group', mereka nakal tetapi
cerdik dan pintar dan kebanyakan mereka ini adalah orang yang berjaya,"
katanya.
Katanya beliau mengenali isteri perdana menteri itu sejak awal
perkahwinan Rosmah dan Najib, bukan selepas menjadi isteri timbalan
perdana menteri atau perdana menteri.
"Kenapa saya bersetuju untuk menulis buku ini, saya menulis buku ini
kerana saya sayang Datin Seri Rosmah dan saya mengenali hati budinya.
Oleh kerana itu, apabila kita membaca sebuah buku, kita tidak boleh
melihat kulit buku itu tetapi dari dalam," katanya.
No comments:
Post a Comment