December 25, 2012

Fazurina kahwin tanpa restu...(?)

Aktres yang popular menerusi drama "Dunia Anita", Fazurina atau nama sebenarnya Siti Fazurina Mohd Famir menafikan dakwaan suaminya tidak dikenali pihak keluarganya lantas menyebabkan dia mengambil keputusan untuk kahwin lari.
 
Dipetik dari sebuah laman hiburan tempatan, aktres berusia 30 tahun ini menegaskan tiada istilah kahwin lari atau keluarga pihak perempuan tidak mengenali suaminya, Hykal Zulkifli kerana keluarga masing-masing tinggal di satu blok kondominium yang sama di Hartamas. 

Sebelum ini heboh diperkatakan bahawa Fazurina telah membelakangi keluarganya dan membuat keputusan untuk berkahwin bersama pilihan hatinya di Masjid Jamek Sungai Pinang, Pulau Pinang berwalikan bapa saudaranya. 

"Memang benar saya telah dinikahkan oleh bapa saudara saya sendiri. Ramai ahli keluarga yang datang, cuma ibu bapa dan adik-beradik saya sahaja yang tiada. 

"Isu keluarga saya tidak mengenali satu sama lain dengan suami memang tidak benar kerana kami tinggal di satu blok yang sama, cuma tingkatnya yang berbeza sahaja. Keluarga Haykal di tingkat 16, manakala kami di tingkat 14," kata Fazurina yang menjelaskan keadaan sebenar. 

Fazurina kahwin tanpa restu


Tambahnya lagi, suaminya itu turut mengenali adiknya, Siti Fazurita Mohd Famir yang pernah menjayakan drama terbitan syarikat produksi miliknya bersama suami iaitu Tripix Studio sebagai pelakon tambahan. 

Fazurina turut menyatakan rasa terkilan apabila adiknya membesar-besarkan situasi tersebut sehingga timbul kontroversi kononnya dia berkahwin lari. 

"Pihak keluarga Hykal pernah datang merisik, namun ditolak oleh ibu dan saya sendiri tidak mengetahui sebabnya. Saya mengambil keputusan untuk meneruskan pernikahan selepas merujuk dengan ustaz-ustaz untuk bertanyakan tentang situasi ini. Malah saya telah melakukan solat istikharah," jelasnya yang berharap agar pintu hati ibunya akan terbuka menerima Hykal sebagai seorang menantu. 

"Walaupun ibu tak bagi, saya tahu satu hari nanti pasti hatinya akan terbuka. Saya percaya hubungan antara ibu dan anak tidak akan terpisah." 

Selepas majlis pernikahan yang berlangsung baru-baru ini, Fazurina dan Hykal bakal diraikan dalam satu majlis resepsi yang bakal diadakan pada 9 Februari 2013 di Pulau Pinang.

.

1 comment:

Masy said...

selamat pengantin baru..