May 15, 2013

10 Akujanji MB Selangor...(?)

Tan Sri Khalid Ibrahim pagi ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor di Istana Alam Shah, di sini. 
 
Beliau mengangkat sumpah dan membaca ikrar aku janji sebagai Menteri Besar di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri istana itu kira-kira jam 10.10 minit pagi.
Khalid selepas itu menandatangani Aku Janji Menteri Besar Selangor dan disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu mengekalkan jawatan Menteri Besar bagi penggal kedua selepas Pakatan Rakyat menguasai 44 kerusi daripada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor atau majoriti dua pertiga.
KEADILAN menang 14 kerusi berbanding DAP dan PAS yang masing-masing memperoleh 15 kerusi, manakala BN pula hanya memenangi 12 kerusi.
“Alhamdulillah, selamat angkat sumpah sebagai MB. Terima kasih atas segala sokongan. Cadangan rakyat diterima baik dan usaha kita akan digandakan (untuk rakyat),” kata Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak selepas upacara itu.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyatakan sokongan mereka kepada Khalid sebagai Menteri Besar.
Dalam PRU 13, Khalid mengekalkan DUN Pelabuhan Klang apabila menumpaskan calon BN, Nasarruddin M Zin dengan majoriti 2,994.
Khalid mengangkat sumpah pertama kali sebagai Menteri Besar pada 13 Mac 2008, empat hari selepas PRU 2008.
Beliau juga merupakan orang pertama dalam kalangan pemimpin Pakatan yang dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.
Kesemua 13 Menteri Besar Selangor sebelum ini daripada Umno, parti komponen utama BN.
MB Selangor angkat sumpah


No comments: