Jimmy Shanley & Nursuhaila |
Permohonan Jimmy Shanley untuk mendapatkan perintah
komital terhadap Nursuhaila Ellia Suhaimy bagi memenjarakan bekas
isterinya itu atas dakwaan ingkar terhadap perintah mahkamah berhubung
hak penjagaan anak mereka, Zahrah Rania, 2, tidak dibenarkan oleh
Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Menurut laporan mStar, Hakim Syarie, Mawardi Che Mat telah
memerintahkan Jimmy selaku pemohon untuk memasukkan afidavit sokongan
daripada saksi sebelum mahkamah mendengar permohonan tersebut.
Ini kerana mahkamah mendapati terdapat pelanggaran pada tiga tempoh
perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah sebelum ini namun ia perlu saksi
bagi menyokong dakwaan yang difailkan pemohon.
Pada 7 Mei lalu, Jimmy dalam afidavit yang difailkannya mendakwa
Nursuhaila ingkar dengan perintah dikeluarkan mahkamah pada 8 April lalu
yang memutuskan dia diberi hak lawatan dan bermalam selama tiga hari
setiap minggu dengan anaknya.
Namun bekas isterinya gagal berbuat demikian pada empat tempoh
tersebut iaitu pada 9 hingga 11 April, 16 hingga 18 April, 23 hingga 25
April dan 30 hingga 2 Mei lalu.
Mawardi turut meminta tarikh pertama iaitu 9 hingga 11 April
dikeluarkan kerana Nursuhaila berada di luar negara bersama anak mereka
ketika keputusan dibuat sehari sebelum itu.
"Mungkin ketika itu responden tidak mengetahui perintah mahkamah yang
bakal dikeluarkan dan responden telah pun berada di luar negara. Jadi
saya melihat tarikh tersebut tidak relevan dimasukkan dalam permohonan,"
jelasnya.
Mahkamah menangguhkan kes itu pada 25 Jun depan.
No comments:
Post a Comment