Bapa kepada Saiful Bukhari hari ini membuat keputusan mengejut
apabila menarik balik permohonan maafnya yang dibuat kepada Datuk Seri
Anwar Ibrahim pada Mac lalu, mendakwa beliau telah dipengaruhi pihak
tertentu untuk bertindak sedemikian.
Pada 8 Mac lalu, Azlan Mohd Lazim dalam
satu sidang media tertutup telah meminta maaf kepada Anwar dan
sekeluarga, mengakui kes liwat melibatkan anaknya adalah satu konspirasi
politik.
“Saya hari ini ingin menarik balik permohonan maaf kepada Datuk Seri
Anwar Ibrahim dan ingin menegaskan kes liwat anak saya adalah benar.
“Ia bukan satu konspirasi politik,” kata Azlan dalam satu sidang media di Ibis Styles Hotel disini.
Keputusan Azlan,60, hari ini dibuat ketika pilihan raya semakin
hampir pada 5 Mei ini, walau bagaimanapun bapa Saiful berkata ia adalah
kebetulan dan dilakukan secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak.
“Saya tampil buat kenyataan hari ini adalah secara sukarela dan tidak dipaksa.
“Saya juga tidak ditawarkan sebarang ganjaran untuk menarik balik permohonan maaf ini,” tambahnya.
Azlan yang hadir seorang diri tanpa ditemani anaknya berkata telah
membuat kesilapan dan sedar tindakannya tersebut tidak memberi sebarang
manfaat.
“Setelah membuat penilaian dan berfikir semula, saya mengakui telah
membuat kesilapan kerana meminta maaf kepada Datuk Seri Anwar.
“Saya sudah sedar dan mahu meminta maaf kepada seluruh keluarga saya terutama anak saya Saiful,” kata Azlan lagi.
Apabila ditanya akan dituduh sebagai penipu oleh orang awam selepas
ini, Azlan berkata rela menerima tohmahan sebegitu dan terpulang kepada
orang ramai untuk berbuat sedemikian.
“Itu terpulang kepada orang ramai, saya tidak kisah,” kata Azlan.
Dalam pada itu, Azlan juga berkata akan keluar daripada PKR dan akan
menghantar permohonannya kepada parti tersebut dalam masa terdekat.
“Selepas ini, saya akan hantar permohonan untuk keluar daripada PKR,” kata beliau.
Dalam pada itu, Azlan juga berkata anaknya Saiful telah dimaklumkan
tentang sidang media hari ini dan menegaskan tidak mempunyai sebarang
masalah ataupun bergaduh dengan anaknya.
Pada 8 Mac lalu, The Malaysian Insider melaporkan Azlan
membuat keputusan mengejut apabila mengakui kes liwat kedua yang
melibatkan anaknya dengan Anwar sebuah “konspirasi politik jahat” serta
meminta maaf kepada pemimpin utama Pakatan Rakyat (PR) itu.
Sejurus selepas itu, Azlan pada 11 Mac dengan rasminya menghantar
borang keahlian untuk menyertai PKR bagi bersama-sam parti tersebut
untuk berkempen pada pilihan raya hari ini.
Sidang akhbar itu diaturkan oleh Ahli Majlis Tertinggi PKR Datuk Johari Abdul dan dikawal dengan ketat.
“Mungkin dia hadapi tekanan, daripada Umno dan juga ahli keluarganya sebab itu buat keputusan untuk tarik balik.
“Kenyataan beliau tidak memberi sebarang kesan, rakyat boleh menilai
sendiri sama ada cakapnya benar atau tidak,” kata Johari apabila di
hubungi oleh The Malaysian Insider.
Malah, Johari berkata bapa Saiful yang mencarinya untuk membuat
kenyataan pada 8 Mac lalu dan tidak pernah memaksa Azlan untuk membuat
sedemikian.
“Bukan saya yang cari dia, tapi sebaliknya dia yang cari saya.
“Saya tidak pernah paksa dia, cuma mahu tolong. Tapi tiba-tiba dia tarik pula kenyataan itu hari ini,” tambah Johari.
Sementara Anwar yang ditemui di Selayang hari ini, enggan memberikan komen.
Kes liwat kedua Anwar bermula setelah laporan polis dibuat oleh
Saiful, bekas kakitangan beliau mendakwa telah diliwat oleh penasihat
PKR tersebut.
Saiful mendakwa dirinya telah diliwat oleh Anwar di unit kondominium
Desa Damansara di Bukit Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30
petang pada 26 Jun 2008.
Pada 7 Ogos 2008, Anwar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jalan Duta.
Walau bagaimanapun, pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
membuat ketetapan bahawa Anwar tidak bersalah atas kes liwat yang
dihadapi oleh beliau.
Namun, pada 20 Januari 2012 Pejabat Peguam Negara telah memfailkan
rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan
Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful.
Notis itu yang ditandatangani oleh Peguam Cara Negara Datuk Idrus
Harun telah difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala
Lumpur.
Pendakwaan memohon rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang
melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat Saiful akan
didengar Julai ini.
Anwar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman hingga 20 tahun penjara dan sebat jika disabitkan kesalahan.
No comments:
Post a Comment