Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Tan Sri Khalid
Ibrahim akan mengangkat sumpah pagi esok sebagai Menteri Besar Selangor
di Istana Alam Shah, Klang.
Istiadat itu berlangsung di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Perkara ini disahkan seorang pegawai di Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor.
Khalid
yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak mengekalkan jawatan Menteri
Besar bagi penggal kedua selepas Pakatan Rakyat menguasai 44 kerusi
daripada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor atau majoriti dua
pertiga.
KEADILAN menang 14 kerusi berbanding DAP dan PAS yang masing-masing
memperoleh 15 kerusi, manakala BN pula hanya memenangi 12 kerusi.
Perkembangan ini menamatkan teka-teki dan spekulasi tentang siapa
pemimpin daripada PAS, KEADILAN dan DAP, yang akan mengisi kerusi
Menteri Besar selepas PRU 13, 5 Mei.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden PAS, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali
menyatakan sokongan mereka kepada Khalid sebagai Menteri Besar.
Dalam PRU 13, Khalid mengekalkan DUN Pelabuhan Klang apabila menumpaskan calon BN, Nasarruddin M Zin dengan majoriti 2,994.
Khalid mengangkat sumpah pertama kali sebagai Menteri Besar pada 13 Mac 2008, empat hari selepas PRU 2008.
Beliau juga merupakan orang pertama dalam kalangan pemimpin Pakatan yang dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.
Kesemua 13 Menteri Besar Selangor sebelum ini daripada Umno, parti komponen utama BN.
MB dan Sultan Selangor |
No comments:
Post a Comment