May 30, 2013

Sejak bila penyokong Pahang jadi fanatik...(?)





KUANTAN 29 Mei - Pihak polis menerima lima laporan polis berhubung perbuatan khianat ke atas kenderaan yang berlaku di Stadium Darul Makmur, di sini malam semalam.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata, laporan tersebut diterima selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala FA 2013 di antara Pahang dan Johor Darul Takzim dibatalkan, ekoran  tindakan agresif penyokong kedua-dua pasukan.

“Kejadian berpunca daripada jumlah penonton melebihi kapasiti akibat tiga pintu masuk ke stadium dipecahkan penyokong.

“Kita masih dapat mengawal keadaan walaupun berlaku sedikit kekecohan akibat tindakan agresif penyokong,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau juga menjelaskan, pihak polis masih menjalankan siasatan berkenaan insiden malam tadi termasuklah siasatan kes khianat ke atas kenderaan seperti yang dilaporkan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Katanya, tiada sebarang laporan diterima berhubung kecederaan membabitkan penonton dalam insiden itu.

Pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA Pahang menentang Johor Darul Takzim di Stadium Darul Makmur itu terpaksa dibatalkan gara-gara limpahan penonton yang akhirnya mengheret kepada senario kekecohan.

Ianya berlarutan selama lebih sejam kerana berlaku limpahan penonton memasuki stadium iaitu kira-kira 40,000 orang.
 

No comments: