Apabila menjelangnya penghujung tahun kita merasakan bahawa masa ini berlalu begitu pantas sehingga kita tidak terasa bahawa hari sudah berganti minggu, minggu menjadi bulan dan bulan menjadi tahun. Tanpa kita sedari kita kini sudah di ambang penghujung tahun 2005 dan tidak beberapa hari lagi akan menjelang tahun baru 2006.
Biasanya setiap kali menyebut tahun baru ia sering dikaitkan dengan azam seseorang untuk meningkatkan usaha dan mencapai kejayaan yang lebih baik. Perkara-perkara positif sering di jadikan azam sebagai pelengkap soalan klise 'Apa azam baru tahun ni?' atau sememangnya menjadi tekad seseorang.
Ciri-ciri azam dan tekad sempena tahun baru termasuklah azam yang bermanfaat, memotivasikan diri sendiri dan bersifat sebagai matlamat jangka panjang. Azam baru ini mampu menaikkan tahap kehidupan seseorang individu, agar berusaha untuk mencapai lebih kemajuan dan meningkatkan akhlak, moral dan kualiti kehidupan.
Soalan yang sama juga sering di tanyakan kepada aku yang kadang-kadang aku rasa soalan tak perlu itu tak perlu dijawab dan tak perlu ditanya. Maaflah aku sememangnya tidak berazam di awal tahun seperti yang lazimya di lakukan oleh ramai orang. Cukuplah sekadar ucapan selamat Tahun Baru...
Aku lebih selesa memulakan tekad sebagai azam setiap kali menjelangnya tarikh kelahiran kerana aku rasakan detik kelahiran adalah tarikh permulaan kehidupan di alam nyata dan pada ketika itulah secara simboliknya survive kita bermula. Diantara kehidupan dan kematian adalah satu perjalanan yang perlu kita corakkan sebaik mungkin sebagai pengisian cemerlang kita sepanjang hayat.